أهلا وسهلا

Tajuk Khutbah Jumaat Minggu ini (12/8/2011) "GENERASI AL-QURAN GENERASI RABBANI"

“KEMBALILAH KE PANGKUAN AL-QURAN"

Mengenang peristiwa demi peristiwa yang berlaku dewasa ini, gejala
demi gejala, musibah yang melanda dan jenayah yang berleluasa. Persoalannya bilakah lagi kita akan berjaya menjadikan undang-undang agung ini sebagai peraturan dalam kehidupan kita.


 Hanya berpandukan Al-Quran sahajalah yang mampu menjadi petunjuk, rahmat dan membawa berita
gembira serta panduan untuk membimbing manusia memperolehi jalan kemenangan dan kebahagiaan.


Firman Allah SWT dalam surah An-Nahl ayat 89: yang bermaksud “Kami turunkan kepadamu (Ya Muhammad) kitab Al-Quran ini bagi menjelaskan tiap-tiap suatu perkara dan menjadi hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan membawa berita gembira bagi orang-orang Islam".

Al-Quran mampu menyelesaikan semua perkara yang berlaku kepada
dunia dan ia mampu menunjukkan jalan kebenaran sekaligus memberikan
rahmat kepada kehidupan manusia. Persoalannya adakah umat Islam hari ini
bersedia untuk kembali kepada hukum Islam sebagai penyelesai masalah yang
berlaku?.
Hari ini kita melihat dunia menangis akibat kerosakan yang dilakukan
oleh tangan-tangan manusia. Sebahagian manusia semakin jauh terpesong
daripada Al-Quran yang menjadi petunjuk kepada mereka. Inilah punca akidah
semakin menyimpang, akhlak semakin goyang, syariat pula semakin hilang.

Firman Allah SWT dalam Surah Toha ayat 123: yang bermaksud “Kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dari-Ku, maka sesiapa yang mengikut petunjuk-Ku itu nescaya ia tidak akan sesat dan ia pula tidak akan menderita azab sengsara”.

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melaporkan dalam tempoh lima
tahun lalu (2004-2009), anak luar nikah yang telah didaftarkan ialah seramai
214,000 orang dan kebanyakannya membabitkan orang melayu yang beragama
Islam. Ini tidak termasuk kes buang bayi yang dilaporkan kepada Jabatan
Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sedangkan kehidupan yang dipandu Al-Quran telah menunjukkan
jalan penyelesaian kepada kita.
1. Digalakkan berkahwin ke atas orang-orang bujang agar kehormatan diri
mereka dapat dipelihara.
Firman Allah SWT dalam surah An-Nur ayat 32: yang bermaksud “Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan
kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya kerana Allah Maha Luas
(rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya), lagi Maha mengetahui”.



2.  Kewajipan menutup aurat hendaklah difahami sebagaimana Firman Allah
SWT dalam surah Al-Ahzab ayat 59: yang bermaksud “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta
perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya
bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang
demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang
baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah
Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.



3. Menjaga pergaulan bebas.
Hadith riwayat Tirmizi bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: yang bermaksud "Tidaklah seorang lelaki berduaan dengan perempuan kecuali yang ketiganya
adalah syaitan”.



Beberapa langkah segera perlu diambil untuk mengembalikan kesedaran
umat Islam agar nilai Al-Quran bukan hanya dibaca atau disimpan di kutub
khanah semata-mata. Justeru, umat Islam secara drastik perlu untuk mengambil
beberapa langkah bagi memastikan Al-Quran kembali di singgahsana
keagungannya seperti butiran berikut;

1. Pendedahan pelbagai teknik belajar membaca Al-Quran melalui klinik-klinik
Al-Quran hendaklah diketengahkan sebagai alternatif atau usaha bagi
umat Islam menguasai bacaan dan pembelajaran Al-Quran.


2. Penekanan terhadap tarbiyyah dan didikan anak-anak supaya lebih fokus
untuk mengenali Al-Quran, memahami isi kandungannya, mengetahui
hukum-hakam dan peraturannya serta memastikan penerusan pengajian
agama diutamakan sehingga mampu melahirkan ‘alim ‘ulama dan
seterusnya berperanan mengislahkan umat berdasarkan Al-Quran.

3. Usaha-usaha hendaklah diperjuangkan oleh umat Islam bagi
mengembalikan undang-undang dan peraturan Allah supaya ianya dapat
ditegakkan dan dilaksanakan seterusnya maslahah umat dapat dipelihara
dan mampu membendung gejala pemesongan akidah dan sosial yang
berlaku.

4. Bawalah kembali ummah menghayati syariah Islam kerana dengan
mengikut syariatlah satu-satunya jalan keluar dari belenggu jahiliyyah dan
kerosakan.

5. Meneruskan kesedaran kepada umat Islam supaya membudayakan
pembacaan Al-Quran untuk dibaca di masjid-masjid, di pejabat dan di
rumah. Hanya orang-orang yang terbuka jiwanya dengan sinaran Al-Quran
sahaja yang begitu memahami bahawa hanya hukum Allah SWT sahajalah
penyelesai segala kemelut yang berlaku.












makluman

Makluman semasa: “KEPADA SESIAPAN YANG INGIN MENDERMA / BERWAKAF ALAT PENGHAWA DINGIN , HUBUNGI TN NAZIR MASJID. TK”