
Banyak yang telah kita dengar tentang gejala sosial. Berbagai gejala sosial telah melanda masyarakat kita dan aktiviti yang terlibat begitu pelbagai sekali baik yang dilakukan oleh remaja mahupun orang dewasa. Namun, oleh kerana golongan remaja dan pelajar merupakan bakal pewaris negara, maka kegiatan merekalah yang hangat diperkatakan dan mendapat perhatian daripada segenap lapisan masyarakat. Media massa seringkali menyiarkan pelbagai berita dan cerita tentang kenakalan remaja yang masih bersekolah dan pelbagai masalah sosial yang melanda mereka ini. Melihat kepada masalah sosial dan perbuatan jenayah membabitkan pelajar dan remaja benar-benar membimbangkan kita. Pada peringkat pelajar dan remaja, seseorang individu mengalami perubahan yang amat pesat sekali, sama ada dari segi fizikal, emosi mahupun sosial. Pada zaman inilah para remaja mula terdedah kepada alam luas di luar rumah, malah persekitaran ini sudah merupakan rumah kedua kepada mereka. Remaja juga belajar banyak perkara yang tidak semuanya datang dari ibu bapa tetapi kebanyakannya daripada persekitaran sosial yang mana ia membesar. Pada tempoh-tempoh inilah para remaja mula mengubah tingkah laku, sikap, dan nilai, malahan seluruh cara hidup daripada alam kanak-kanak kepada alam yang lebih matang dan dewasa (Bettelheim, 1950).