أهلا وسهلا

Tajuk Khutbah Jumaat Minggu ini (12/8/2011) "GENERASI AL-QURAN GENERASI RABBANI"

Antara Hikmah di sebalik Ramadhan

Dibulan Ramadan terdapat malam Lailatul Qadar. Yang mana dikeranakan oleh malam tersebut maka ibadah seseorang mukmin lebih baik dari beribadah diseribu bulan yang lain atau lebih mulia dari beribadah sepanjang seribu bulan.  Keutamaan bulan Ramadan juga ialah apabila Allah Subhanahu wa-Ta'ala memilih malam Lailatul Qadar diturunkan padanya al-Quran untuk membimbing manusia ke jalan hidayah dan kemuliaan.

Orang-orang beriman digalakkan agar berlumba-lumba bangun melakukan amal ibadah dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala dari Allah, kerana bulan ini adalah bulan yang paling mulia di sisi Allah.  Keutamaannya sangat besar sebagaimana digambarkan dalam surah al-Qadar:
لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ اَلْفِ شَهْرٍ.
"Malam Lailatul Qadar itu lebih baik dari seribu bulan".
       Malam Lailatul Qadar dijelaskan oleh al-Quran sebagai malam yang di penuhi dengan berkat, rahmat dan fadhilat sebagaimana firman Allah:

اِنَّا اَنْزَلْنَاهُ فِى لَيْلَةٍ مُبَارَكَةٍ اِنَّاكُنَّا مُنْذِرِيْنَ ، فِيْهَا يُفْرَقُ كُلُّ اَمْرٍ حَكِيْمٍ اَمْرًا مِنْ عِنْدِنَا اِنَّا كُنَّا مُرْسَـلِيْنَ ، رَحْمَةً مِّنْ رَّبِّكَ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ.
 
"Sesungguhnya Kami menurunkan al-Quran di malam Lailatul Qadar pada malam yang penuh berkat.  Sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan (kepada manusia), pada malam (penuh berkat) itu ditetapkan (dijelaskan) semua perkara dari Kami.  Kerana sesungguhnya Kami sentiasa mengutus para rasul, sebagai rahmat Allah Tuhan engkau.  Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui". Ad-Dukhan, 44:3-6.
Bilakah Malam Lailatlul Qadar?
            Dalam sebuah hadith, Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam telah bersabda:

قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِى الْوِتْرِ مِنَ الْعَشْرِ اْلاوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ
 
"Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:  Pilihlah (carilah) malam Lailatul Qadar di (pada hari) ganjil dari sepuluh terakhir dari bulan Ramadan".
Imam Syafie rahimahullah berkata:
"Menurut pemahamanku, wallahu a’lam, Nabi sallallahu 'alaihi wa-sallam setelah ditanya: Apakah kami mencarinya dimalam ini?  Baginda menjawab:  Carilah dimalam tersebut".
Adapun yang dimaksudkan:  "Carilah dimalam tersebut", ia telah diterangkan dari Ibnu Umar radiallahu 'anhuma beliau berkata:  Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam bersabda:
"Carilah (malam tersebut) pada sepuluh hari terakhir, jika tidak mampu janganlah tertinggal tujuh hari yang sisanya".

Dari Aisyah radiallahu 'anha pula berkata:
“Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam bersungguh-sungguh beribadah pada sepuluh hari terakhir yang tidak pernah dilakukannya di waktu yang lain".
Aisyah radiallahu ‘anhu berkata lagi:
“Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam jika telah masuk sepuluh hari terakhir, baginda mengikat kuat kainnya, menghidupkan malamnya dan membangunkan isterinya".
Diceritakan pula kisah malam kemuliaan itu, dengan izin Allah sebahagian malaikat turun membawa bendera diketuai Malaikat Jibril turun ke Mekah pada waktu isya'. Dan malaikat rahmat akan berarak ke seluruh dunia untuk mencari rumah-rumah orang mukmin yang sedang beribadah. Kemudian malaikat-malaikat akan membawa permohonan mereka kepada Allah. Apabila terbitnya fajar pada keesokan paginya, amatlah tenang. Begitu juga pada malam lailatul qadr tersebut, yang amat sesuai dan selesa untuk tidur.
Adapun rumah-rumah yang tidak akan dimasuki oleh malaikat rahmat itu apabila terdapat 5 perkara. Pertama, rumah yang terdapat anak derhaka kepada ibu bapa ataupun ibu bapa yang tidak memaafkan kesalahan anak-anak. Kedua, orang ketagihan arak. Ketiga, orang yang makan daging khinzir. Keempat, orang yang memutuskan silaturrahim. Dan yang kelima, tidak bertegur melebihi 3 hari.
Antara amalan-amalan utama pada malam lailatul qadr adalah bermula dengan solat isya' secara berjemaah, solat terawikh, solat witir, solat tahajud, solat tasbih dan akhir sekali solat subuh. Solat-solat sunat yang lain juga digalakkan untuk didirikan seperti solat hajat. Terdapat salah faham dimana apabila kita sudah melakukan solat witir selepas solat tarawih, maka kita tidak boleh untuk berqiamullail. Adapun pendapat ulama mengatakan boleh untuk berqiamullail tetapi tidak perlu untuk mendirikan solat witir semula.
Bagi solat hajat pula, seperti yang dilakukan oleh para ulama yang hampir sama dengan solat hajat yang diamalkan oleh para sahabat adalah bacaan surah al-Kafirun sebanyak 10 kali pada rakaat pertama dan surah al-ikhlas sebanyak 11 kali pada rakaat kedua. Kemudian, sesudah selesai tahiyat akhir dan salam, maka sujud dan bermunajatlah apa yang kita hajati. InsyaAllah, Allah akan perkenankan hajat kita itu tetapi mengikut ketetapan masa untuk Allah menguji kesabaran kita semua. - Wallahualam

makluman

Makluman semasa: “KEPADA SESIAPAN YANG INGIN MENDERMA / BERWAKAF ALAT PENGHAWA DINGIN , HUBUNGI TN NAZIR MASJID. TK”